THE 2ND NATIONAL CONCRETE PONTOON COMPETITION (CPC) 2013



Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Pada tanggal 11 dan 12 Disember bersamaan hari Rabu dan Khamis yang lalu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan satu pertandingan konkrit yang diberi nama “The 2nd National Concrete Pontoon Competition 2013” dan ia telah diadakan di  Fakulti Kejuruteraan Dan Alam Sekitar (FKAS) UTHM sendiri dengan berbekalkan tema “Innovation In Sustainable Material Application”.

Pertandingan ini terbuka kepada seluruh IPT serta industri luar dan kategori yang dipertandingkan adalah dua iaitu poster dan konkrit. Untuk kategori konkrit, peserta dikehendaki mencipta sebuah konkrit ‘pontoon’ berukuran 500mm x 500mm x 100mm dan boleh terapung di atas air serta mencipta dua buah kiub berukuran 150mm x 150mm x 150mm menggunakan bancuhan yang sama untuk tujuan ujian kekuatan mampatan. Konkrit ‘pontoon’ tersebut kemudiannya akan diletakkan beban di atasnya secara berperingkat sehinggalah ia tenggelam. Konkrit yang mampu menahan beban yang paling tinggi akan menjadi pemenang. Manakala untuk kiub pula, ia akan diuji kekuatannya dengan menggunakan mesin pemampatan konkrit. Sehubungan dengan itu, Jabatan Kejuruteraan Awam Dan Struktur (JKAS) di bawah seliaan Profesor Madya Dr Roszilah Binti Hamid telah memilih dalam kalangan mahasiswa tahun 2 untuk menyertai pertandingan tersebut. Sebanyak dua kumpulan telah dipilih berdasarkan proposal yang dibuat dan setiap kumpulan terdiri daripada empat orang ahli.


Saya yang turut terlibat sama tempoh hari merasakan pertandingan seperti ini amat memberikan impak yang positif dari segi daya kreativiti dan inovasi  terhadap para peserta. Walaubagaimanapun, rezeki tidak berpihak kepada kami dari UKM kerana pertandingan ini dimenangi oleh industri luar iaitu Syarikat Sika Kimia Sdn Bhd yang diketuai oleh Dr. Lai Fook Chuan selaku peserta dan merupakan Senior Scientist & Special Project Area Technology Manager di syarikat tersebut. Akan tetapi bagi saya kemenangan itu tidak penting kerana ini merupakan kali pertama kami memasuki pertandingan seperti ini malah, pesaing juga merupakan peserta-peserta yang hebat dari industri luar serta beberapa buah IPT seperti UTHM sendiri, UTM, UiTM, UPNM, Politeknik dan banyak lagi. Bagi saya yang paling berharga di sini adalah pengalaman serta ilmu yang ditimba sepanjang program.



Dalam kesempatan dan peluang keemasan ini, saya sempat mengambil sebeberapa banyak ilmu daripada para pemenang dan peserta yang lain serta membina hubungan atau jaringan secara tidak rasmi antara beberapa buah Kelab Kejuruteraan Awam daripada beberapa buah IPT melalui wakil kelab mereka, antaranya UTHM, UiTM, dan UTM kerana saya fikir Kelab Kejuruteraan Awam di UKM sukar untuk berkembang jauh sekiranya ia tidak bekerjasama dengan IPT lain. Maka atas inisiatif inilah satu jaringan secara tidak rasmi telah kami bentuk dengan tiga IPT ini secara permulaan untuk membawa Kelab Kejuruteraan Awam di UKM lebih maju kehadapan dan saya mempunyai hasrat suatu hari nanti untuk membina jaringan dengan seluruh kelab kejuruteraan awam dari seluruh IPT di Malaysia supaya bidang ini mampu menjadi satu bidang yang gah dan mampu menjadi pemangkin dalam melonjakkan Malaysia kehadapan. InshaAllah perbincangan lebih lanjut dengan wakil-wakil daripada IPT tersebut akan menyusul tidak lama lagi.




Akhir kalam, pertandingan berprestij seperti ini perlu kita ambil bahagian dan menjadikannya sebagai satu wadah untuk membina identiti tersendiri serta menjadikannya sebagai persediaan sebelum melangkah keluar dari alam kampus kelak. Saya dan rakan-rakan peserta berharap semoga pasukan UKM akan lebih cemerlang dan mantap untuk CPC yang akan datang.
Wallahualam.

Nurul Hafiz Bin Othman
Peserta CPC 2013
Jabatan Kejuruteraan Awam dan Struktur


0 ulasan:

Catat Ulasan